Jumat, 19 Desember 2008

Kasih Sayang Makanan Jiwa

Kasih sayang sangat penting bagi setiap insan. Ia merupakan makanan jiwa. Tanpa kasih sayang, jiwa jadi gersang, menderita bahkan jiwa boleh mati. Persoalannya, kasih sayang yang bagaimanakah yang benar-benar menjadi makanan jiwa. Ertinya kasih sayang itu menjadikan jiwa terasa kenyang, tenang, bahagia dan puas. Sebenarnya, inilah permata berharga yang sudah hilang daripada umat Islam. Kasih sayang hakikatnya tidak ada di mana-mana. Belum wujud kasih sayang hakiki yang dapat menjadi makanan jiwa-jiwa manusia.

Kalau ada pun kasih sayang, hanya baru sekadar serasi atau sesuai. Atas keserasian itulah kita dapat bergaul dan bermesra. Namun, kita sebenarnya belum `merasa` kasih sayang sejati dan hakiki itu. Apa buktinya? Untuk menyuluhnya, mari kita hayati bagaimana kasih sayang yang wujud di kalangan para Sahabat Nabi SAW. Kasih sayang mereka benar-benar sejati lagi hakiki.

Kasih sayang antara para Sahabat itu, mereka rindu-merindui antara satu dengan lain. Bangun pagi sahaja, yang difikirkan ialah bagaimana keadaan Sahabat yang lain. Apakah mereka makan atau tidak, sihatkah atau sakitkah, bagaimana pula keadaan anak isteri mereka, itulah yang difikirkan oleh para Sahabat. Mereka tidak memikirkan ten-tang din dan keluarga terlebih dahulu, sebaliknya mengutamakan kepentingan orang lain.

Sejarah menceritakan, ada seorang Sahabat menerima masakan kepala kambing. Sahabat tersebut tidak tergamak hendak memakan hidangan istimewa itu. Tidak mampu dia hendak menelannya kerana mengingatkan ada orang lain yang tidak turut merasanya. Baginya, dia lebih suka kalau orang lain yang menikmati keenakan makanan itu. Lalu Sahabat tersebut menghantar kepala kambing itu kepada Sahabat lain yang merupakan jirannya.

Sahabat yang menjadi jirannya itu juga tidak sampai hati hendak memakan makanan itu kerana merasakan ada orang lain yang lebih memerlukan. Lalu dia pun menghantar makanan itu ke rumah Sahabat yang lain pula. Sahabat itu pun demikian juga, dia menghadiahkannya kepada orang lain.

Demikianlah masakan kepala kambing itu bertukar-tukar tangan dan akhirnya makanan itu sampai kembali kepada Sahabat yang mula-mula mendapatnya.Begitulah tingginya kasih sayang di kalangan para Sahabat. Masing-masing lebih suka mendahulukan orang lain daripada diri dan keluarganya.

Apakah hal seperti ini terjadi di kalangan kita hari ini? Jauh panggang dari api! Hari ini manusia bersikap nafsi-nafsi dan mementingkan diri sekalipun terhadap sanak saudara dan kawan baik sendiri. Jiran sebelah rumah pun tidak diambil peduli.

BACA ARTIKEL JUGA DIBAWAH INI



Tidak ada komentar:

Posting Komentar